27,000 Dos Vaksin CanSino Akan Diberikan Di Sandakan

SANDAKAN, 6 Sept : Kira-kira 27,000 dos vaksin COVID-19 jenis CanSino akan diberi kepada penduduk di Sandakan, bukan sahaja di pulau tetapi juga di kampung pedalaman dan estet kelapa sawit.

Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 Daerah (CITF) Wong Foo Tin berkata vaksin satu dos kepada penduduk di tempat terpencil di daerah itu dapat mempercepatkan kadar vaksinasi bagi memenuhi sekurang-kurangnya 70 peratus imuniti kelompok menjelang akhir bulan ini.

“Suntikan ini (CanSino di kawasan terpencil) lebih mudah (untuk ditadbir kakitangan kesihatan) kerana sukar bagi mereka (kakitangan kesihatan) untuk kembali memberikan dos kedua,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Wong yang juga Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sandakan, menyeru semua penduduk Sandakan iaitu warga tempatan dan asing termasuk mereka yang tidak mempunyai dokumen, yang mempunyai akses lebih mudah ke pusat pemberian vaksin (PPV) untuk merebut peluang mendapatkan vaksinasi percuma secara jumpa terus di mana-mana tujuh PPV yang diwujudkan di daerah itu.

PPV tersebut ialah Dewan Masyarakat Sandakan, Dewan Hakka, Dewan Tiong Hua, Dewan Yu Yuan, Dewan Libaran, Dewan Gum-Gum dan Dewan Program Perumahan Rakyat Batu Sapi.

Wong berkata daripada 363,100 penduduk berusia lebih 18 tahun di Sandakan, kira-kira 190,000 masih belum mendaftar dengan aplikasi MySejahtera, justeru masih belum mendapat suntikan vaksin.

Beliau juga menolak khabar angin oleh pihak tertentu yang menyebarkan dakyah bahawa pihak berkuasa akan menahan pendatang tanpa izin berdasarkan kad vaksin yang dikeluarkan kepada mereka.

“Semua tuduhan liar ini adalah tidak berasas dan mempunyai niat jahat untuk mengganggu proses vaksinasi di Sandakan.

“Kita harus ingat bahawa melalui program vaksinasi dan dengan peratusan vaksinasi yang tinggi dalam masyarakat, akan menjamin keselamatan dan membebaskan Sandakan daripada jangkitan COVID-19,” tegas beliau.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Sandakan Dr Johari Awang Besar berkata penduduk di Kampung Bahagia, kawasan terpencil di Batu Sapi, yang pertama akan disuntik dengan vaksin satu dos.

“Vaksin CanSino ini lebih sesuai diberi kepada penduduk di kawasan Batu Sapi kerana terdapat banyak perkampungan air, termasuk penduduk pulau.

“Kami juga akan menguruskan vaksin untuk penduduk di ladang kelapa sawit… kami akan membantu sesiapa sahaja asalkan mempunyai bekalan yang mencukupi,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *