(VIDEO) Myvi Redah Banjir Dihanyutkan Arus Deras Di Inanam

Tangkap layar daripada video tular.

KOTA KINABALU: Sebuah kereta Perodua Myvi dihanyutkan arus deras ketika melalui jambatan konkrit di Jalan Kionsom Lama, Inanam, hari ini.

Dalam kejadian 6 petang itu, difahamkan, terdapat dua mangsa dalam kenderaan itu, namun mereka dikatakan dapat menyelamatkan diri.

Detik cemas itu sempat dirakam oleh pemandu yang berada di belakang kenderaan berkenaan sebelum ditularkan di media sosial.

Seorang saksi kejadian, Lester Bingkasan berkata, sebelum kejadian dia bersama isterinya dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.

Bagaimanapun katanya, mereka terpaksa berhenti di tepi jalan sementara menunggu hujan reda berikutan keadaan Sungai Kionsom deras susulan hujan lebat sejak jam 3 petang.

“Selepas menunggu hampir tiga jam, hujan semakin reda namun arus sungai masih deras.

“Pada masa sama, tiga kenderaan pacuan empat roda berjaya melepasi jambatan konkrit berkenaan. Ia mungkin memberi keyakinan kepada pemandu Perodua Myvi untuk cuba melepasi jambatan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.01 petang.

Katanya, pasukan bomba yang menggunakan Lori Hicom BHX 619 kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian bagi mencari dan menyelamat mangsa.

“Setakat ini, pasukan bomba belum menerima sebarang laporan sama ada mangsa dan kenderaan sudah ditemui atau sebaliknya.

“Terdapat laporan di media sosial yang mendakwa mangsa sudah ditemui, namun usaha sedang giat dijalankan bagi mencari dan menyelamat individu terbabit,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *