Murid OKU Penglihatan SKPK Tuaran Menang Tempat Pertama Di Pertandingan Muzik Amerika Syarikat

KOTA KINABALU: Pasukan The Trio, SK Pendidikan Khas Tuaran, merupakan ensembel permainan alat muzik tradisional Sabah yang terdiri daripada tiga orang murid OKU Penglihatan telah mendapat tempat pertama di pertandingan USA World Music International Competition anjuran International Youth Music Competition (IYMC), Atlanta, USA, pada Julai 2021.

Pasukan ini bertanding dalam kategori muzik traditional dan etnik. Persembahan Muzikal The Trio boleh disaksikan di pautan YouTube ini; https://youtu.be/kQXXta_yukU


Pasukan The Trio terdiri daripada Kimberly Lo Jing Wei, 12 (Pemain Alat Muzik Gong), John Paul Paulus, 12 (Pemain Alat Muzik Drum Bamboo) dan Putra Ahmad Naim Bin Mohd Masri, 13 (Pemain Alat Muzik Kulintangan).

Para pelajar ini telah dibimbing oleh Cikgu Stefanus Lucas yang merupakan seorang Guru Pendidikan Muzik di sekolah tersebut.


The Trio yang merupakan peserta tunggal daripada Malaysia dan bersaing dikalangan 50 penyertaan daripada 21 negara, telah mendapat keputusan sebagai salah satu pasukan muzikal yang telah menerima anugerah First Prize dalam pertandingan tersebut dengan mendapat markah terkumpul sebanyak 96%.

Dalam pertandingan ini juga, The Trio merupakan satu-satunya pasukan muzikal yang terdiri daripada golongan OKU.

Pasukan ini telah mempersembahkan alunan ensembel alat muzik tradisional Sabah dan telah membawa lagu rakyat Malaysia iaitu lagu Lenggang Kangkung.

Kesempatan perlaksanaan hari persekolahan secara bersemuka sepanjang bulan Januari sehingga April 2021 telah memberi peluang kepada pasukan The Trio melaksanakan beberapa siri latihan muzikal dan aktiviti rakaman lagu di sekolah.


Kejayaan murid OKU ini membuktikan bahawa semua insan OKU boleh berjaya sekiranya diberikan peluang dan ruang untuk berkarya dalam pelbagai bidang termasuklah dalam pertandingan bidan muzikal.

Semoga kejayaan ini memberi inspirasi dan membuka mata semua pihak untuk melihat insan OKU juga sama hebat dengan insan normal walaupun mereka mempunyai ketidakupayaan dan kekurangan yang kelihatan atau tidak kelihatan secara fizikal.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *