Guru Tolak Vaksin Tidak Dibenarkan Mengajar Secara Bersemuka – Radzi

KANGAR: Guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka apabila sesi persekolahan dibuka pada 3 Oktober depan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ketika ini, terdapat 2,500 guru di negera ini enggan divaksinkan, dan pihaknya akan terus mengadakan sesi libat urus bersama mereka.

“Apabila sekolah dibuka kelak, guru yang tidak divaksinkan ini tidak boleh mengajar secara bersemuka di dalam kelas serta berinteraksi dengan pelajar.

“Namun, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan garis panduan tugasan untuk guru yang tidak divaksin ini dan dalam masa sama, kita sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkenaan tindakan yang boleh diambil kepada guru yang masih belum divaksinkan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Menteri Kanan Pendidikan Bersama Guru Sekolah Rendah Negeri Perlis di sebuah hotel, di sini hari ini.

Katanya, tindakan yang diambil itu mengambil kira keadaan semasa terutama menjelang pembukaan sekolah kelak.

“Jumlah ini tidak ramai dan hanyalah segelintir daripada lebih 400,000 guru di negara ini jadi kita hendak jaga anak kita di sekolah supaya ibu bapa yakin persekitaran di sekolah itu selamat untuk anak kita.

“Ada guru yang tidak dapat divaksin ini atas masalah kesihatan, namun ada juga guru yang memberi alasan seperti tidak yakin akan keberkesanan vaksin ini menyebabkan mereka menolak untuk menerima vaksin ini serta pelbagai alasan lagi.

“Segala alasan yang diberikan ini akan diteliti satu persatu dan kita minta supaya pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pusat Pendidikan Daerah (PPD) bertemu dan memberi penjelasan mengenai keperluan vaksin ini.

“Ini kerana kita mahu pastikan ekosistem keseluruhan sekolah ini adalah selamat untuk anak kita,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 85.26 peratus guru di negara ini sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin, sementara sebanyak 96.7 peratus sudah menerima satu dos vaksin.

“Kakitangan sokongan di sekolah termasuk pekerja kantin, kebersihan dan keselamatan juga perlu divaksinkan, malah kita sudah mengeluarkan makluman bahawa mereka yang berada di kawasan sekolah ini mesti divaksin.

“Terdapat 73.71 peratus kakitangan perkhidmatan sokongan yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin manakala 89.35 peratus lagi menerima satu dos suntikan vaksin,” katanya.

Radzi berkata, sesi pengajaran ketika pembukaan sekolah pada 3 Oktober hadapan akan diputuskan kelak berdasarkan situasi negeri mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Malah, terdapat perbezaan dari sudut pendekatan pengajaran yang dijalankan mengikut negeri pada fasa PPN ini.

“Segala mekanisma pengajaran ini akan dimaklumkan kelak sebelum bermulanya sesi pembukaan sekolah nanti,” katanya.

Sementara itu, Perlis menjadi negeri pertama jelajah Sesi Libat Urus Guru dengan Menteri Kanan Pendidikan yang akan diikuti negeri lain selepas ini. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *