Tiada Laporan Kematian Berkaitan Vaksin Setakat Ini

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 0.04 peratus daripada 1,000 dos vaksin diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mengalami kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) yang serius.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, tiada laporan kematian yang dikaitkan dengan pengambilan vaksin setakat hari ini.

“Tiada satu pun kes kematian yang menunjukkan kaitan langsung dengan vaksinasi.

“Kita melaksanakan pemantauan yang rapi terhadap kes AEFI untuk memastikan vaksin yang kita bagi ini selamat, tidak mengundang kemudaratan daripada kesan sampingan yang serius,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, sejak PICK bermula pada 24 Februari sehingga 30 Ogos lalu, sebanyak 34.6 juta vaksin dos sudah diberi dan pihaknya menerima maklum balas dalam MySejahtera menerusi seksyen kawalan kendiri.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 20.7 tindak balas untuk setiap 1,000 dos yang diterima melalui aplikasi MySejahtera untuk reaksi kecil yang direkodkan.

“Sakit di tempat suntikan dan sakit kepala adalah sebahagian besar laporan diterima dalam kalangan penerima vaksin,” katanya.

Menurutnya, melalui sistem pelaporan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) AEFI yang ada, kadar keseluruhan pelaporan yang diterima adalah 0.53 setiap 1,000 dos.

“Daripada jumlah ini, 0.04 per 1,000 dos laporan dikategorikan sebagai AEFI serius.

“Sebahagian kes yang serius hanya memerlukan masa yang singkat dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian dan rawatan,” katanya.

Bagaimanapun, Khairy berkata, bagi melegakan hati rakyat Malaysia, beliau sudah berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk mengeluarkan data lengkap mengenai AEFI minggu depan.

Beliau juga mengulang pendirian KKM akan membekalkan lebih banyak data terperinci berkaitan Covid-19 kepada umum bermula minggu hadapan bagi meningkatkan lagi ketelusan kementerian itu dalam pemberian maklumat.

“Data berkenaan akan disiarkan secara terbuka supaya orang ramai dapat melihat lebih banyak data berbanding yang dibekalkan KKM ketika ini.

“Saya sudah buat ketetapan supaya budaya kerja di KKM selepas ini lebih kepada ketelusan supaya soal kepercayaan kepada kerajaan dan maklum balas KKM kepada pandemik ini, tiada lagi tuduhan kerahsiaan atau tembok maklumat yang tidak dapat diperoleh dari kerajaan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *