Sabah Ambil Inisiatif Buat ‘Pinjaman Vaksin’ 99,400 Dos Pfizer Dari Sarawak

Penerbangan itu membabitkan pinjaman vaksin daripada kerajaan Sarawak yang diperoleh dari Kuching, Sibu dan Bintulu untuk dibawa ke Tawau, Sabah. – Foto TUDM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah mengambil inisiatif melakukan ‘pinjaman vaksin’ daripada kerajaan Sarawak menerusi penghantaran 99,400 dos vaksin Pfizer, melalui penerbangan logistik, hari ini.

Bahagian Perhubungan Awam Tentera Udara Diraja Malaysia dalam kenyataannya, berkata penerbangan itu membabitkan pinjaman vaksin daripada kerajaan Sarawak yang diperoleh dari Kuching, Sibu dan Bintulu untuk dibawa ke Tawau, Sabah.

“Pemindahan vaksin ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Sabah dalam meningkatkan pemberian vaksin dalam kalangan rakyat bagi mencapai sasaran imunisasi kelompok 80 peratus rakyat negeri itu menjelang Oktober depan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Kenyataan itu berkata, pesawat angkut C130 dari Pangkalan Udara Labuan dikendalikan juruterbang TUDM, Mohamad Zulkarnain Johari bersama pembantu juruterbang Owi Wei Lunn, jurutera penerbangan Mohd Azlan Mohd Ali dan jurumalim Muhammad Haikal Rasdi

Turut menyertai misi terbabit, Kuartermaster Udara iaitu Freddie Francis Biren dan Ridzuan Karmusakar, tiba pada 11.30 pagi di Pangkalan Udara Kuching.

Katanya, pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Kuching pada 12.30 tengah hari dan membuat pengambilan vaksin di Lapangan Terbang Sibu dan Lapangan Terbang Bintulu, sebelum meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Tawau dan tiba pada 4.30 petang, seterusnya diserahkan kepada jabatan kesihatan Sabah.

“Peranan TUDM khususnya dalam sokongan logistik melalui penghantaran udara bagi membantu negara menangani Covid-19 dilaksanakan berterusan sejak wabak melanda negara pada Mac tahun lalu, terutama ketika pesawat komersial terpaksa menghentikan operasi penerbangan,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *