36.47% Warga Sabah Lengkap Divaksin

KOTA KINABALU: Sebanyak 36.47 peratus rakyat Sabah sudah menerima imunisasi lengkap termasuk penerima vaksin CanSino yang hanya memerlukan satu dos.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata lebih separuh rakyat negeri ini telah menerima satu dos vaksin.

“Setakat hari ini, berdasarkan statistik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Negeri Sabah, bilangan penduduk layak divaksin yang telah divaksin satu dos ialah 56.68 peratus dan bagi yang telah selesai dua dos pula ialah sebanyak 36.39 peratus.

“Keseluruhan penduduk dengan dos lengkap ialah sebanyak 36.47 peratus dengan mengambil kira bahawa hanya satu dos sahaja diperlukan sebagai dos lengkap bagi vaksin jenis Cansino.

“Jumlah penduduk Sabah layak divaksin ialah seramai 2,758,400 orang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Masidi yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah berkata pihaknya telah menerima bekalan vaksin jenis Pfizer-BioNTech, Sinovac dan CanSino bulan ini.

“Bagi bulan Ogos, 1,414,020 dos vaksin Pfizer-BioNTech, Sinovac dan CanSino telah diterima termasuk 515,150 dos yang sampai sepanjang minggu ini.

“Sejumlah 99,400 dos lagi Pfizer-BioNTech akan sampai dari Kuching, Sarawak dalam masa dua hingga tiga hari ini,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *