Hati-Hati Mungkin Ada Militan Dalam Kalangan Anda, Amaran Polis Sabah Kepada Majikan

Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali memberi taklimat kepada media mengenai kejadian tembak melibatkan militan Abu Sayyaf di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kota Kinabalu. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Polis Sabah memberi amaran supaya majikan yang mengambil pekerja asing memastikan mereka mempunyai dokumen perjalanan atau peribadi yang betul.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali berkata, mengambil pekerja asing tanpa dokumen mungkin membuka ruang kepada anggota kumpulan militan menyelinap masuk dan bersembunyi di negeri itu.

“Ramai yang memasuki Sabah menukar nama mereka,” katanya kepada pemberita.

“Kami bimbang pihak tertentu seperti kumpulan militan akan mengambil kesempatan terhadap keadaan.

“Disebabkan itu saya menggesa syarikat pemaju, pemilik ladang dan majikan lain membuat pemeriksaan sewajarnya sebelum mengambil pekerja.”

Amaran Hazani itu susulan kematian dua lelaki disyaki anggota kumpulan Abu Sayyaf dalam kejadian tembak-menembak dengan pasukan keselamatan di Pulau Timbang, Sandakan, Jumaat lalu.

Dua individu dikenali sebagai Rakim Landasan dan Alnasir Landasan masing-masing berusia 30-an, terbunuh dalam serbuan anggota keselamatan di sebuah ladang.

Polis sebelum itu mendapat tahu mereka merancang penculikan dua pemilik ladang di Sandakan dan Sukau untuk mendapatkan wang tebusan sebelum pulang ke Filipina.

Perancangan itu didedahkan kepada pihak berkuasa oleh seorang ketua kumpulan Abu Sayyaf, Sansibar Bencio, iaitu antara lapan orang yang ditahan kerana disyaki mempunyai hubung kait dengan kumpulan militan itu di Taman Sri Arjuna, Beaufort pada Mei.

Bencio mengeluarkan arahan kepada kumpulan di Pulau Timbang supaya melakukan penculikan berkenaan.

Hazani berkata, pasukan keselamatan akan melancarkan operasi berskala besar untuk menghapuskan sisa kumpulan militan itu sebaik keadaan wabak Covid-19 pulih.

Katanya, polis berazam menghapuskan persepsi bahawa Sabah adalah “tempat selamat” untuk kumpulan seperti itu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *