Pengusaha Ladang & Majikan Jangan Beri Ruang Kepada Pendatang Haram – Polis Sabah

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali

KOTA KINABALU 25 Ogos : Semua pengusaha ladang dan majikan di Sabah diingatkan supaya tidak memberi ruang kepada pendatang haram untuk bekerja atau menghulurkan bantuan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini di kawasan mereka.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata pemilik ladang atau majikan perlu menyelidik latar belakang individu yang ingin diambil bekerja khususnya warga asing termasuk membuat pengesahan dan menyemak dokumentasi mereka.

“Kalau tiada dokumentasi, ikut peraturan… kebanyakan datang ini menipu nama mereka. Saya menggesa supaya pengusaha ladang, pemaju dan sebagainya sila buat dokumentasi pekerja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tabika Kemas Al-Ghazali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata polis akan melaksanakan operasi besar-besaran terhadap pendatang haram termasuk di ladang-ladang di seluruh Sabah sebaik sahaja jangkitan COVID-19 dilandaikan kelak.

Hazani turut menafikan dakwaan kononnya Sandakan menjadi ‘sarang’ bagi sel Abu Sayyaf susulan insiden dua anggota kumpulan itu ditembak mati di sebuah ladang sawit di daerah tersebut manakala tujuh lagi ditahan dalam operasi khas minggu lepas.

Beliau berkata kawasan pantai timur Sabah yang memiliki kawasan pantai sepanjang 1,470 kilometer sememangnya menjadi tumpuan pendatang haram untuk menceroboh masuk.

Katanya bagaimanapun, penguatkuasaan tegas yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa akan memastikan keselamatan sentiasa dijaga.

Hazani berkata pasukan keselamatan di negara ini akan mengambil tindakan agresif apabila mendapat maklumat daripada pihak keselamatan Filipina bahawa ada anggota kumpulan Abu Sayyaf cuba menceroboh masuk ke Sabah.

“Mesej kita sudah sampai ke seberang (Filipina) yang kita akan ambil tindakan agresif. Sekiranya mereka yang masuk disahkan (anggota) kumpulan Abu Sayyaf, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” kata beliau.

Pada 20 Ogos lepas, pasukan keselamatan negara menembak mati dua anggota kumpulan Abu Sayyaf di sebuah ladang sawit di Pulau Timbang, Sandakan yang didapati merancang menculik pemilik ladang di kawasan itu. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *