Penduduk Kampung Tahan 13 PTI Cuba Masuk Ke Tawau

13 pendatang haram yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau. – Foto Esscom

TAWAU, 24 Ogos : Cubaan 13 pendatang haram dari Sungai Nyamuk, Indonesia menyusup masuk ke Tawau melalui pantai di Kampung Batu Payung di sini gagal, apabila ditahan penduduk kampung itu, malam tadi.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kesemua mereka berusia dua hingga 49 tahun itu ditahan pada 9 malam, ketika menaiki dua kenderaan yang dipandu dua lelaki tempatan di tepi pantai.

“Kesemua suspek termasuk dua lelaki tempatan ditahan dan diserahkan kepada pasukan keselamatan, yang tiba selepas dihubungi penduduk kampung.

“Pemeriksaan terhadap 13 pendatang haram ini tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, selain mengaku baru tiba dari Sungai Nyamuk menggunakan laluan haram, dengan menaiki sebuah bot,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ahmad Fuad berkata, siasatan terhadap dua pemandu tempatan pula mendapati kedua-dua lelaki berusia 28 tahun itu, turut mengaku mengambil 13 pendatang haram berkenaan terdiri daripada tujuh lelaki,  lima wanita serta seorang kanak-kanak perempuan.

Sementara itu Ahmad Fuad menghargai usaha penduduk kampung termasuk Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan Rela, kerana peka dan menjadi mata serta telinga pasukan keselamatan dalam mengekang kemasukan pendatang haram, masuk ke negeri ini.

Dalam pada itu beliau berharap komuniti maritim di pantai timur Sabah, untuk terus membantu memberi maklumat sekiranya ada berhubung kemasukan pendatang haram supaya pihaknya boleh mengambil tindakan segera. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *