Labuan Pertama Beralih Ke Fasa 4

PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan peralihan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Wilayah Persekutuan Labuan daripada Fasa 3 kepada Fasa 4, manakala Negeri Sembilan pula beralih daripada Fasa 1 kepada Fasa 2 berkuat kuasa 26 Ogos ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berpandukan kadar vaksinasi lengkap dua dos di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Wilayah Persekutuan itu mencapai 92.4 peratus imuniti kelompok bagi populasi dewasa.

Beliau berkata, perkara ini disokong data yang menunjukkan trend kes positif Covid-19 harian di Labuan menurun kepada satu digit secara konsisten selama 12 hari berturut-turut, malahan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun ke angka sifar peratus berbanding 30 peratus pada bulan sebelumnya.

“Bagi Negeri Sembilan, keadaan Covid-19 juga bertambah baik dengan menunjukkan trend penurunan penggunaan wad ICU daripada lebih 120 peratus kapasiti pada hujung Mei kepada kurang daripada 40 peratus semalam.

“Perkembangan tersebut adalah selaras dengan pencapaian kadar vaksinasi yang semakin tinggi iaitu 72.3 peratus daripada kalangan populasi dewasa yang telah menerima dua dos. Ini menunjukkan bahawa Negeri Sembilan berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran imuniti kelompok dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.  – Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *