Guru Tak Lengkap Vaksin Jangan Ke Sekolah

Guru-guru perlu mendapatkan suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka Oktober depan.  – Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional mencadangkan agar guru yang tidak lengkap suntikan vaksin dilarang daripada mengajar di sekolah.

Presidennya, Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, langkah itu perlu diambil bagi memastikan tidak wujud kluster sekolah sebaik sesi pembelajaran bermula pada 3 Oktober depan.

“Kami terkilan dengan tindakan 779 guru di Johor yang menolak vaksin. Ini memberi persepsi dan kesan kurang menyenangkan bagi seluruh warga Malaysia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang iaitu kira-kira 779 guru di Johor menolak untuk me­nerima vaksin Covid-19.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia, Aminuddin Awang mengakui mereka tidak pernah menerima laporan mengenai guru menolak vaksin sehinggalah dedahkan baru-baru ini.

Katanya, sekiranya wujud aduan sekali pun ia hanyalah mengenai kelewatan segelintir guru menerima tarikh temu janji suntikan vaksin tersebut.

“Kita tak pernah terima aduan seperti itu, biasanya ia (aduan) tentang guru yang belum terima tarikh suntikan. Itulah yang biasa kami tekankan sebelum ini.

Pada masa sama, Aminuddin berkata, beliau yakin semua guru yang dijadualkan kembali mengajar di sekolah pada 3 Oktober depan telah menerima suntikan vaksin sepenuhnya.

“Jika masih ada yang belum lengkap divaksin sekali pun, masih ada masa lagi untuk mereka disuntik sebelum sesi persekolahan tersebut dibuka jadi tidak timbul masalah di situ,” katanya. – Kosmo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *