Lebih 700,000 Orang Sudah Lengkap Dua Dos Vaksin Di Sabah

KOTA KINABALU : Sebanyak 33,799 orang menerima dos kedua vaksin COVID-19 di Sabah hari ini menjadikan keseluruhan 730,603 orang atau 26.9 peratus telah lengkap dua dos vaksin di negeri itu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata bagi dos pertama,  21,466 orang menerima suntikan vaksin hari ini menjadikan jumlah kumulatif 1.37 juta setakat ini.

“Dengan jumlah tersebut, peratusan penduduk dewasa negeri Sabah yang telah diberi vaksin sekurang-kurangnya satu dos mencatat 50.3 peratus,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata jumlah kes positif COVID-19 di negeri tersebut kekal di tahap tinggi iaitu 2,651 kes, menyaksikan penurunan 87 kes berbanding 2,738 yang dicatat semalam.

Masidi, yang juga jurucakap COVID-19 Sabah, berkata daripada jumlah kes hari ini, 447 adalah keputusan tertunggak melebihi lima hari, 364 kes tertunggak antara empat hingga lima hari manakala 936 merupakan kes tertunggak antara dua hingga tiga hari.

“Ini bermakna hampir 66 peratus kes harian iaitu 1,747 kes didaftar selepas dua hari keputusan saringan diperoleh, penjelasan ini perlu difahami bagi mengelakkan tanggapan bahawa jumlah kes harian hari ini adalah kes yang dilaporkan berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu,” katanya.

Beliau berkata satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Cantawan di Lahad Datu yang merupakan kluster tempat kerja di Mukim Silabukan melibatkan 46 kes kumulatif dengan kes indeks merupakan pekerja lelaki di ladang kelapa sawit berusia 24 tahun yang disahkan positif di sebuah klinik swasta pada 16 Ogos. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *