Varian Delta Membiak Dalam Hidung Individu Divaksin

Varian Delta boleh tumbuh di hidung orang yang sudah divaksinasi seolah-olah individu berkenaan belum mendapatkan vaksin.

PUTRAJAYA: Kajian baharu mengenai varian membimbangkan (VOC) Delta, mendapati varian dominan berkenaan boleh membiak dalam hidung individu yang sudah mendapat vaksin, sama seperti individu yang tidak divaksinasi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kajian awal terhadap satu kes jangkitan mendapati, varian Delta itu membiak di hidung orang yang sudah divaksinasi seolah-olah individu berkenaan belum mendapatkan vaksin.

“Virus yang membiak itu sama penularannya kepada orang yang tidak divaksinasi. Ini bermaksud individu yang sudah divaksin tetap dapat menyebarkan virus berkenaan serta menjangkiti orang lain,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Sebelum ini beberapa kajian yang dijalankan di hospital di India, Provincetown, Massachusetts dan Finland juga turut mendapati selepas penularan varian Delta, terdapat banyak virus dikesan di dalam hidung seseorang indvidu itu sama ada mereka diberi vaksin atau tidak.

Dr Noor Hisham sebelum ini dilaporkan berkata varian Delta boleh merebak dalam masa lima hingga 15 saat dan jangkitan melalui udara.

Tempoh itu ternyata singkat jika dibandingkan dengan kes positif COVID-19 sebelum ini, iaitu individu yang terdedah boleh menjangkitkan virus berkenaan dalam jangka masa kurang daripada 15 minit dengan jarak satu meter.

Varian Delta pada asalnya digelar sebagai B.1.617.2, kali pertama dikesan di Maharashtra, barat India pada Oktober tahun lalu. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *