Lewat Daftar Punca Kes Covid-19 Terus Meningkat Di Sabah

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Kes harian Covid-19 di Sabah terus meningkat daripada 2,583 kes kelmarin kepada 2,738 kes semalam berikutan masih terdapat kes positif yang lewat didaftarkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun berkata daripada jumlah kes positif itu, sebanyak 1,012 kes lewat selepas dua hingga tiga hari keputusan saringan diketahui, 223 kes lewat didaftar empat hingga lima hari dan 247 kes lewat daftar sehingga lebih lima hari.

“Pendaftaran lewat ini berlaku kerana pengumpulan dan penyemakan data secara teliti serta melibatkan jumlah yang agak banyak. Maklumat-Maklumat ini juga datang dari pelbagai daerah di Sabah,” menurutnya dalam kenyataan.

Masidi, yang juga jurucakap Covid-19 Sabah, berkata saringan kontak rapat kekal penyumbang terbesar kepada kes harian iaitu 1,616 kes atau 59.02 peratus diikuti saringan bergejala (654 kes), saringan kluster (172 kes) dan selebihnya saringan lain.

Beliau berkata pada masa sama, terdapat satu kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini iaitu Kluster Sungai Pin 2 di Kinabatangan yang dikategorikan sebagai kluster tempat kerja dengan 30 kes kumulatif.

“Kes indeks melibatkan seorang wanita warga Indonesia, 52, yang bekerja di sebuah ladang sawit berdekatan Sungai Pin, Kinabatangan. Dia disahkan positif setelah menjalani ujian saringan tempat kerja pada 6 Ogos lepas selepas didapati bergejala,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *