PUTRAJAYA: “Saya mungkin Perdana Menteri paling pendek memegang jawatan, tetapi saya kira telah buat apa yang difikirkan perlu untuk menyelamatkan nyawa, rakyat jelata, tentukan mereka ada makanan di atas meja dan nyawa mereka selamat.”
Itu antara amanat terakhir disampaikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perjumpaan dengan pegawai Jabatan Perdana Menteri (JPM) di pejabatnya, di sini hari ini.
Dalam video berdurasi 24 minit yang dikongsikan Muhyiddin menerusi Facebook itu, beliau berkata, walaupun menerajui kepemimpinan negara dalam tempoh paling singkat, tugas yang dipikulnya agak luar biasa kerana perlu berperang dengan pandemik COVID-19.
“Dalam setahun atau lebih 17 bulan ini tugas dan tanggungjawab yang saya terpaksa pikul agak luar biasa, ia tempoh yang amat sukar dan belum pernah terjadi sebelum ini.
“Namun, kerana ia adalah satu amanah, kita cuba untuk buat yang terbaik untuk negara,” katanya.
Muhyiddin berkata, peletakan jawatannya bukan bermakna perjuangan untuk rakyat berakhir begitu sahaja, beliau tidak menolak kemungkinan akan kembali menerajui kepimpinan negara.
“Waktu saya ditendang (dipecat) oleh Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri ketika itu), saya tak ambil banyak masa untuk kemas pejabat, cuma ambil satu novel diberikan oleh kawan.
“Saya tak ada sebarang rahsia di dalam laci, surat rahsia, tidak ada. Sebab saya tahu saya tak patut buat perkara yang salah. Jadi inilah kehidupan, apa yang berada di atas, boleh turun ke bawah, tetapi apa yang berada di bawah, Insya-Allah akan kembali semula,” katanya sambil diiringi tepukan oleh kakitangan JPM.
Menegaskan pendiriannya, Muhyiddin berkata, beliau istiqamah untuk menolak unsur penyelewengan seperti rasuah dan merompak duit rakyat.
“Soal rasuah tak boleh (toleransi), sebab hukumnya haram, begitu juga orang yang merompak. Sebab itu saya tegak berdiri, istiqamah atas dasar prinsip undang-undang dan hukum. Tapi ramai juga yang lupa, kerana itu saya sanggup bercakap apa yang benar, walaupun pahit.
“Nasihat saya, perjalanan kita ini, laluan sahaja untuk sampai ke jannatun naim, jadi pertimbangan kita bukan duniawi. Sebab itu bagi saya hilang jawatan PM itu duniawi, saya tak boleh bawa ke mana pun,” katanya.
Beliau turut menyangkal pandangan sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan pimpinannya gagal menangani penularan Covid-19.
“Pada saya, apa yang diperkatakan orang ramai bahawa (kerajaan) tidak melakukan perkara yang sepatutnya adalah salah.
“Jemaah Menteri yang saya bentuk, kita siang malam (uruskan) Covid-19, siang malam, pagi subuh tengok data.
“Lockdown tak berhenti sampai sekarang kerana kita terpaksa buat begitu. Ada pihak kata ia tidak berapa berkesan tapi ia banyak selamatkan nyawa orang ramai.
“Jadi semalam, saya putuskan untuk kali terakhir, bagi membuka lebih banyak sektor dan ia akan berterusan hingga akhir tahun, semua sektor ekonomi boleh dibuka,” katanya.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dan memohon maaf kepada semua pegawai yang berkhidmat serta berpesan untuk semua penjawat awam terus melakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik đŸ‘‰ https://t.me/sabahpost