Ismail Perdana Menteri Baharu

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri baharu menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada 16 Ogos lalu.

Perkara itu diumumkan Istana Negara dalam kenyataan sebentar tadi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Ismail akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada jam 2.30 petang esok di Istana Negara.

“Seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Ismail.

“Jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Terdahulu, mesyuarat khas Raja-raja Melayu selesai selepas hampir dua jam dengan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, menjadi tetamu diraja pertama berangkat meninggalkan Istana Negara pada 4.22 petang.

Mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan pembentukan kerajaan dan pelantikan perdana menteri baharu, dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata, Agong menitahkan kepada pemimpin politik supaya bekerjasama menangani pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi dan meninggalkan politik lama.

Sultan Abdullah kemudian menerima menghadap 114 Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada Isnin.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *