Tawaran Jawatan Bertaraf Menteri Kanan Satu Penghinaan Bagi Saya – Anwar

Anwar menganggap tawaran setara dengan Menteri Kanan yang diberikan itu adalah satu penghinaan terhadapanya.

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akui terkejut dengan keputusan pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menganggap tawaran setara dengan Menteri Kanan yang diberikan itu adalah satu penghinaan terhadapanya.

“Saya tidak langsung terfikir ini satu keputusan yang wajar dan munasabah. Takkanlah ini ya, boleh dibuai (boleh termakan dengan tawaran tersebut).

“Saya fikir ia adalah sangat mengaibkan, bagi saya ia satu penghinaan. Ada orang kata tahniah sekarang macam Menteri Kanan, saya kata itu penghinaan.

“Orang (rakyat) nak dapat RM50, RM100 tambahan sebulan nak cari nafkah untuk anak-anak isteri, begitu susah.

“Kamu (Muhyiddin) pelawa Ketua Pembangkang RM40,000 hingga RM50,000 sebulan tambahan (gaji Menteri Kanan) dengan segala status dan sebagainya,” jelas Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam satu siaran langsung di Facebook pada malam Sabtu.

Anwar menegaskan, Muhyiddin telah tersalah pilih langkah dan kerana itu beliau secara menegas menolak tawaran itu.

“Malah saya.. orang Indonesia sebut sebagai kaget, saya terkejut sikit,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anwar mendedahkan sifat berdendam dalam arena politik perlu dihentikan dan dimulakan dengan nafas baharu.

Jelasnya, ini kerana sifat dendam itulah yang menjadi punca pergelutan dalam politik itu masih berterusan sehingga hari ini.

“Masalah kita dalam politik ini, dalam pergelutan ini kerana politik ini banyak dendam kesumat. Maknanya, orang ini perintah, kamu jaga, aku akan tekan kamu, kamu penjarakan aku, aku akan penjarakan kamu.

“Jadi itu dendam kesumat inilah yang patut dihentikan. Maknanya pentadbiran baru ini harus sedia menyatakan bahawa kita harus bermula babak-babak baharu.

“Iaitu politik yang lebih waras dan politik yang tidak menggalakkan dasar tindakan berdasarkan dendam kesumat,” ujarnya lagi. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *