Fasa 1 PPN: Kedai Pakaian Antara 11 Sektor Ekonomi Boleh Beroperasi Mulai 16 Ogos

Sebanyak 11 sektor ekonomi akan dibuka semula untuk negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 16 Ogos ini, umum perdana menteri.

PUTRAJAYA: Sebanyak 11 sektor ekonomi akan dibuka semula untuk negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 16 Ogos ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Selain itu beliau berkata, keputusan berkenaan dicapai setelah pihak kerajaan berbincang dengan semua pemegang taruh (stakeholders) dalam sektor-sektor berkepentingan.

Kemudahan-kemudahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran berkuat kuasa 16 Ogos 2021, melibatkan 11 jenis aktiviti ekonomi yang akan dibenarkan kembali beroperasi di dalam Fasa 1 ialah:

1. Kedai cuci kereta2. Kedai elektrik dan elektronik3. Kedai barangan rumah dan peralatan dapur4. Kedai perabot5. Kedai peralatan sukan6. Kedai aksesori kereta7. Pusat pengedaran dan jualan kereta8. Pasar pagi dan pasar tani sahaja9. Kedai pakaian, fesyen dan aksesori10. Kedai barang kemas11. Kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja)

Bagi kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas serta kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja), terdapat prosedur operasi standard (SOP) kesihatan tambahan yang mesti dipatuhi.

Beliau berkata, ia termasuk memakai sarung tangan, mengehadkan masa urusan di antara pekerja dan pelanggan, serta tidak membenarkan penggunaan fitting room.

“SOP-SOP ini mungkin merumitkan tetapi ia demi keselamatan pekerja dan pelanggan,” katanya lagi.

Selain itu Perdana Menteri berkata, pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula ini perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination).

“Ini bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

“Sekali lagi diingatkan, maksud vaksinasi lengkap ialah 14 hari selepas tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin jenis dua dos, dan 28 hari selepas tarikh suntikan bagi vaksin jenis satu dos,” katanya lagi.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *