Agong Tak Perlu Temui Semua Ahli Parlimen Untuk Lantik Perdana Menteri Baharu

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong boleh melantik mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mempunyai sokongan majoriti, tanpa perlu menemui kesemuanya secara peribadi bagi mengetahui calon Perdana Menteri yang menjadi pilihan masing-masing.

Perkara itu termaktub dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, yang mana baginda mempunyai kuasa prerogatif bagi menentukan kaedah pemilihan bagi lantikan jawatan itu, selagi syarat dalam peruntukan berkenaan dipenuhi.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan kebijaksanaan dan budi bicara baginda dalam proses untuk membuat lantikan itu, selagi kaedah yang ditentukan baginda tidak dibataskan dalam Perlembagaan.

“Baginda boleh memilih mana-mana ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin boleh mendapat majoriti. Undi majoriti itu pula hanya perlu dibuktikan selepas lantikan sebagai Perdana Menteri, bukan sebelumnya.

“Bagaimana cara untuk baginda menentukannya, itu terserah kepada kebijaksanaan baginda kerana kuasa baginda di bawah perlembagaan luas selagi tidak dibataskan, tidak terhad seperti pelaksana fungsi kuasa eksekutif baginda, iaitu Perdana Menteri, ahli Kabinet dan lain-lain penjawat.

“Mungkin Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil setiap Ahli Dewan Rakyat untuk bertanya mengenai sokongan mereka seperti yang berlaku sebelum ini, tapi itu juga tidak menjadi satu syarat buat baginda sebenarnya.

“Mungkin juga baginda boleh menemuramah calon bagi mengetahui perancangan calon itu jika dipilih sebagai Perdana Menteri, bagaimana beliau akan mengemudi negara sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) atau dasarnya yang boleh mengukuhkan kedudukan kerajaan selepas ini.

“Apa yang penting, Yang di-Pertuan Agong akan bertindak berdasarkan kebijaksanaan baginda, terutama dalam situasi yang sedang dihadapi rakyat dan negara ketika ini,” katanya kepada BH, hari ini.

Wan Ahmad Fauzi mengulas sama ada pelantikan Perdana Menteri baharu oleh Yang di-Pertuan Agong memerlukan sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Rakyat sebagai syarat, susulan kemelut politik yang melanda negara ketika ini.

Muhyiddin dijangka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah esok, dipercayai berhubung kedudukannya sebagai Perdana Menteri, selepas dipercayai hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Ketika kemelut politik susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada Februari tahun lalu, semua Ahli Dewan Rakyat kecuali Dr Mahathir yang ketika itu dilantik sebagai Perdana Menteri interim dipanggil untuk menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara.

Semua Ahli Dewan Rakyat itu dititah untuk menzahirkan calon Perdana Menteri pilihan mereka kepada Al-Sultan Abdullah dalam sesi temubual secara peribadi.

Menjelaskan sama ada keabsahan Perdana Menteri baharu itu kelak perlu dibuktikan melalui undi percaya di Dewan Rakyat, Wan Ahmad Fauzi berkata, ia juga boleh dilakukan tapi bukan satu keperluan.

“Semua itu boleh dilihat melalui proses selepas itu, contohnya melalui sokongan kepada belanjawan di Dewan Rakyat. Sebelum ini pun, Tan Sri Muhyiddin juga tidak membawa sebarang usul undi percaya bagi membuktikan sokongan kepadanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Bagi langkah seterusnya, terserah kepada Perdana Menteri untuk mencorak Kabinetnya atau membuat kerjasama politik yang difikirkan boleh menjamin kestabilan sekurang-kurangnya sehingga PRU, seperti mahu membentuk kerajaan perpaduan atau apa saja,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *