Labuan Catat Sifar Kes Jangkitan Hari Ini, Pertama Kali Sejak Pandemik Melanda Negara

LABUAN: Jumlah kes COVID-19 terus menurun di Labuan ke paras yang tidak pernah dicatatkan sejak akhir Februari tahun lepas, pada ketika Wilayah Persekutuan itu melaksanakan vaksinasi kepada kesemua orang dewasa dan melaksanakan sekatan pergerakan, yang akhirnya menunjukkan kesannya.

Labuan mencatatkan kes baharu sifar hari ini, pertama kali sejak pandemik itu melanda pulau bebas cukai tersebut.

Dengan perkembangan baik ini, kes di Labuan sehingga hari ini (14 Ogos) kekal pada 9,740 kes dengan 149 kematian.

Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, Labuan mencatatkan kes pertama pada 18 Feb 2020 yang melibatkan satu pasangan suami isteri.

Isteri pasangan itu, berusia 22 tahun berasal dari Shandong, China.

Seperti yang dilaporkan Bernama, pasangan itu telah ditahan sebaik sahaja tiba dari Kuala Lumpur, selepas pihak imigresen mendapati mereka telah melawat China, beberapa hari sebelum pulang ke Labuan.

Sebaik sahaja pemeriksaan oleh pegawai kesihatan, mereka telah disyaki mempunyai gejala virus itu dan telah dirujuk ke hospital dan dikuarantin.

Berdasarkan kepada siasatan, pasangan itu pulang ke Malaysia dari Xiamen, China pada 17 Feb 2020 dan menaiki penerbangan ke Labuan pada keesokkan harinya, dan bermula dari hari tu kes jangkitan harian di Labuan berterusan meningkat dan tidak pernah mencatatkan kes sifar sejak itu.

Dr Ismuni berkata, Labuan akan bertukar ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), dengan jumlah telah divaksinasi 91.57 peratus mereka yang layak di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Labuan sebelum ini menjadi negeri dan Wilayah Persekutuan dilanda kes COVID-19 paling teruk, dengan mencatatkan kadar jangkitan tertinggi di negara dan melibatkan kes varian Delta,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *