Sabah Beri Tempoh Sebulan Lengkapkan Vaksin Pekerja Restoran & Pasar Raya

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memberi tempoh sebulan kepada semua pengusaha restoran dan pasar raya di negeri ini untuk mendapatkan vaksin lengkap Covid-19 bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, penguatkuasaan kepada pematuhan SOP akan dilaksanakan sepenuhnya selepas itu.

Masidi Manjun

“Penguatkuasaan SOP bagi makan di restoran dan pasar raya pada peringkat awal adalah lebih berbentuk pendidikan dan peringatan, bukan untuk tujuan mengenakan penalti.

“Namun, kita berharap semua yang terbabit dalam sektor ini akan memperoleh vaksin lengkap dalam masa satu bulan. Penguatkuasaan kepada pematuhan SOP akan dilaksanakan sepenuhnya selepas itu,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini sudah menyediakan SOP bagi pelbagai aktiviti yang dibenarkan dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), termasuk pengoperasian restoran dan pasar raya.

Katanya, SOP menetapkan bahawa operator, pekerja dan pelanggan mestilah sudah melengkapkan dua dos vaksin dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

“Kita juga sedia maklum ada di antara mereka dalam sektor ini belum menerima vaksin atau belum lengkap divaksin.

“Sehubungan itu, mereka yang belum divaksin dinasihatkan segera mendapatkan vaksin di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terdekat.

“Bagi pekerja pasar raya, restoran dan hotel di sekitar Kota Kinabalu, mereka boleh datang ke PPV Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) untuk tujuan vaksinasi,” katanya.

Masidi berkata, dengan mengambil kira kedudukan pandemik Covid-19 semasa di Sabah yang mencatatkan kes tinggi setiap hari, tindakan sewajarnya perlu diambil untuk mengurangkan penularan termasuk menguatkuasakan SOP baharu di restoran dan pasar raya.

“Ia bertujuan mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat dalam ruang niaga. Ini akan memberi manfaat dan jaminan kesihatan bukan sahaja kepada pekerja tetapi juga pelanggan,” katanya.

Sabah hari ini merekodkan 1,654 kes baharu Covid-19 dengan 15 kes kematian. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *