SOP Pasti Jejas Restoran, Pasar Raya Sabah, Kata Kumpulan Perniagaan

Kumpulan perniagaan berharap kerajaan negeri berbincang dengan sektor swasta sebelum melaksanakan SOP baharu. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Pemilik perniagaan di negeri ini membantah SOP baharu Sabah melibatkan syarat untuk kakitangan dan pelanggan memasuki premis mereka, yang dibimbangi akan mengakibatkan kerugian.

SOP yang dikemas kini semalam itu menyatakan, walaupun ‘dine-in’ kekal dibenarkan di Sabah, semua pemilik kedai makan mesti memastikan hanya kakitangan dan pelanggan yang telah mendapat suntikan vaksin penuh serta mempunyai status risiko rendah di MySejahtera untuk memasuki premis mereka.

Bagi pasar raya dan pasar raya besar pula hanya pekerja dan pelanggan yang telah mendapat dos vaksin penuh boleh memasuki premis berkenaan.

Sabah kini dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengerusi Persatuan Kedai Kopi dan Restoran Pantai Barat Yong Chee Yun berkata, kedai makan akan mengalami kesukaran akibat SOP ini kerana tidak ramai penduduk di Sabah yang telah mendapat suntikan vaksin, apatah lagi dos lengkap.

Walaupun kerajaan negeri mempertingkatkan usaha inokulasi baru-baru ini, beliau berkata kadar vaksinasi Sabah masih yang terendah di negara ini.

“Ramai ahli kami mengadu peraturan ini akan merugikan mereka kerana ramai pekerja belum mendapat walau satu suntikan dos vaksin,” katanya kepada FMT.

“Begitu juga bagi pelanggan, ramai hanya baru mendapat suntikan pertama. Ahli-ahli kami terpaksa memberitahu pelanggan (yang hanya disuntik dos pertama vaksin) bahawa mereka tidak boleh duduk makan di premis.

“Perniagaan terjejas selepas SOP diumumkan semalam. Ada kedai kopi mahu mengingkarinya dan membenarkan saja sesiapa masuk. Saya memberi amaran tindakan itu mampu membawa padah.”

Setakat semalam, Jabatan Kesihatan Sabah berkata 43.9% populasi dewasa di negeri itu telah mendapat suntikan dos pertama, manakala cuma 19.6% divaksin lengkap.

Yong berkata, dilema dihadapi pengendali kedai makan di negeri itu adalah kebanyakannya mempunyai pekerja bukan warganegara atau mempunyai status penduduk tetap.

“Jika pekerja tidak memegang kad pengenalan merah, mereka mempunyai dokumen IMM13 (untuk pelarian Filipina yang pergi ke Sabah pada 1970-an disebabkan konflik di selatan negara itu).

“Sekalipun pusat pemberian vaksin membenarkan vaksinasi secara ‘walk-in’ sekarang, bilangan orangnya terlalu ramai. Kami tidak pasti sama ada pemegang kad IMM13 layak untuk vaksinasi percuma pun.

“Sebab itu kami berharap kerajaan mempertimbangkan semula keputusan ini,” katanya.

Yong turut mencadangkan kerajaan mencontohi Singapura yang membenarkan kedai makan di kawasan terbuka menerima semua pelanggan walaupun yang tidak divaksinasi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Majikan Sabah Yap Cheen Boon turut mempertikaikan SOP terbaru itu yang disifatkannya mengejutkan ramai pihak.

Katanya, langkah-langkah dikenakan itu dibimbangi mengakibatkan ‘kerosakan kolateral ekonomi.’

“Kadar vaksinasi penuh dewasa negeri ini setakat ini 20%. Ini bererti hanya 20% kedai makan dan pasar raya boleh dibuka seterusnya menerima 20% pelanggan pada sesuatu masa.

“Perniagaan tidak boleh memaksa pekerja mereka divaksinasi. Akibatnya perniagaan yang kakitangannya tidak divaksin penuh akan menerima padah sedangkan ia keadaan di luar kawalan mereka.”

Katanya, perniagaan patut dibenarkan beroperasi walaupun kakitangan tidak divaksin lengkap, dengan ujian saringan diadakan secara mingguan yang dibiayai perniagaan terlibat seterusnya diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk pemantauan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *