PSUAM Mohon Pengampunan Diraja, Mahu Najib Razak Jadi PM Interim

Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, pelantikan Ahli Parlimen Pekan itu menepati kriteria sebagai perdana menteri interim untuk menyelamatkan negara dari kemelut politik dan pandemik ketika ini.

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong memohon Pengampunan Diraja diberikan kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sekali gus melantiknya sebagai Perdana Menteri Interim.

Presidennya, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, pelantikan Ahli Parlimen Pekan itu menepati kriteria sebagai Perdana Menteri Interim untuk menyelamatkan negara dari kemelut politik dan pandemik ketika ini.

“Bagi saya beliau (Najib) mempunyai dua kriteria, mempunyai kepercayaan daripada Tuanku dan pengalaman beliau sebagai bekas perdana menteri untuk mentadbir negara.

“Saya lihat kebanyakan rakyat ingin beliau kembali mentadbir negara, dengan itu saya mohon jika mungkin di mata Tuanku ada kekhilafan yang berlaku saya mohon ia dapat dimaafkan,” katanya selepas menyerahkan memorandum tersebut di Istana Negara, di sini pada Jumaat.

Katanya lagi, Najib telah secara konsisten memberikan nasihat dan cadangan kepada kerajaan bagaimana untuk menguruskan ekonomi dan kebajikan rakyat sejak pandemik melanda.

Pada 7 Julai 2020 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau ketika ini sedang mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung sabitan kes berhubung keputusan tersebut.

Najib juga berdepan perbicaraan lain melibatkan dana 1MDB Bhd, pertuduhan meminda laporan audit berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain tuntutan cukai RM1.69 billion daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *