Berkuat Kuasa Serta-Merta, Hanya Individu Lengkap Vaksin Boleh Masuk Pasar Raya & Dine-In Di Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan untuk memperketatkan semula syarat kemasukan ke premis perniagaan dan restoran berkuat kuasa serta-merta.

Berkuat kuasa hari ini, hanya individu yang lengkap divaksin sahaja dibenarkan masuk ke pasar raya dan dine-in di restoran berkuat kuasa, termasuk pekerja di premis berkaitan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu, hanya pelanggan dan pekerja yang telah lengkap divaksin dan berstatus risiko rendah Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera dibenarkan memasuki pasar raya mahupun restoran.

Sementara itu, aktiviti rentas daerah di Sabah masih belum dibenarkan tapi, pergerakan pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang ingin berjumpa anak berumur di bawah 18 tahun dibenarkan.

Namun, aktiviti merentas daerah dalam negeri Sabah membabitkan pasarangan jarak jauh dan ibu bapa itu perlu mendapat kebenaran PDRM.

Mengenai SOP pelancongan pula, operasi hotel dan penginapan dibenarkan bagi pelanggan dalam daerah yang sama dengan syarat pelanggan dan pekerja hotel atau inap desa telah lengkap divaksin.

“Bagaimanapun ketika ini, destinasi dan tapak pelancongan termasuk di kawasan luar bandar masih tidak dibenarkan beroperasi.

“Tetapi, aktiviti pelancongan yang melibatkan gelembung perjalanan dibenarkan dengan syarat pengusaha pelancongan dan pekerja hotel atau inap desa telah lengkap divaksin dan mendapat kelulusan Jawatankuasa Pengurusan Covid-19 negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Bagi aktiviti keagamaan di masjid dan surau juga dibenarkan mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri. Upacara akad nikah di pejabat agama terhad lapan orang dan acara pengebumian terhad kepada 12 orang.

Menurutnya, aktiviti dan upacara di rumah ibadat bukan Islam dibenarkan tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa negeri.

Kerajaan negeri turut melanjutkan operasi pasar awam dan pasar harian sehingga 6 petang, berbanding 3 petang sebelum ini. Pasar tamu dan pasar malam masih tidak dibenarkan.

Masidi Manjun

Kelonggaran dan langkah memperketatkan SOP di Sabah ini sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai beberapa kelonggaran diberikan terhadap individu lengkap divaksin.

Hari ini Sabah mencatatkan 2,052 kes positif dengan 28 kematian dan satu kluster baharu. Ia merupakan kes tertinggi dan kematian terbanyak yang dilaporkan setakat ini.

Tambahan 2,052 kes positif itu menjadikan kumulatif kes di Sabah sebanyak 100,031 kes dan kumulatif kes sembuh sebanyak 85,337 orang. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *