Sabah Catat Rekod Tertinggi Dengan 2,052 Kes Baharu Covid-19

Masidi Manjun berkata, pekerja pelantar minyak didapati positif selepas ujian saringan di tempat kerja, manakala pekerja di tapak binaan Hyatt Centric membabitkan penularan di rumah kongsi mereka.

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan rekod tertinggi hari ini dengan 2,052 kes Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun, berkata penularan jangkitan di dua tempat kerja punca jumlah kes Covid-19 di negeri itu melambung.

“Selain warga tempatan, pekerja terbabit juga terdiri daripada warga Filipina dan China.

“Ia membabitkan pekerja pelantar minyak yang didapati positif selepas ujian saringan di tempat kerja, manakala pekerja di tapak binaan Hyatt Centric membabitkan penularan di rumah kongsi mereka.

“Selain itu, beberapa daerah lain juga mengalami penambahan kes baharu yang tinggi, iaitu Tuaran sebanyak 126 kes, Tawau (178), Beaufort (86), Kota Belud (84), Lahad Datu (50), Ranau (44), Telupid (77), Sipitang (46) dan Tongod (21).”

Daripada keseluruhan kes baharu itu Masidi berkata, 914 kes atau 44.5% membabitkan saringan kontak rapat, saringan bergejala (440), kluster aktif (91), saringan bersasar (71) dan lain-lain kategori (296).

Katanya, 750 orang atau 35% daripada keseluruhan kes baharu itu dalam Kategori 1, manakala 914 orang atau 44.5% dalam Kategori 2.

“Seramai 22 orang lagi dalam Kategori 3, manakala Kategori 4 dan 5 masing-masing enam dan dua orang.

“Satu kluster baharu turut dikesan di Sabah hari ini, iaitu kluster Linting di Kuala Penyu,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *