Sabah Beri Kebenaran Surau Laksana Solat Jumaat

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memutuskan untuk memberi kebenaran sementara kepada beberapa surau terpilih bagi melaksanakan solat Jumaat secara berjemaah dalam tempoh Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif berkata, kebenaran diberikan kepada jawatankuasa di beberapa kawasan yang mengemukakan permohonan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) selepas mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Ia adalah alternatif bagi membolehkan umat Islam menunaikan solat Jumaat.

“Mengenai pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula, kita menyambut baik saranan dua dos vaksin bagi membenarkan solat jemaah di masjid.

“Oleh itu, melalui Pejabat Mufti Negeri Sabah, JHEAINS dan juga Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), kita mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Sabah sekiranya ada kelonggaran yang dapat diberikan dari segi jumlah jemaah di masjid dan surau.

“Namun begitu, ia masih tertakluk kepada situasi semasa Covid-19 di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kesyukuran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1443H/2021M di Masjid Negeri, semalam.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmey Yahya dan Setiausaha Persekutuan, Datuk Dr Zulkapli Mohamed. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *