Hak Orang Asal Perlu Dimasuk Dalam Sistem Perundangan Negara, Kata Madius

Wilfred Madius Tangau berkata, Upko akan terus konsisten memperjuangkan hak Orang Asal bagi memastikan 46 fasal yang terkandung dalam UNDRIP dilaksanakan di negara ini.

KOTA KINABALU: Hak Orang Asal yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) harus dijadikan dasar kerajaan dan dimasukkan dalam sistem perundangan negara khususnya di Sabah, kata Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, Malaysia antara 144 negara yang bersetuju dan menyokong Deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Hak-hak Orang-orang Asal (UNDRIP) sehingga ia diluluskan dalam Perhimpunan Agung PBB pada 2007.

“Ini bererti hak-hak Orang Asal di negara ini sudah pun mendapat perlindungan di bawah resolusi UNDRIP.

“Sehubungan itu, Upko akan terus konsisten memperjuangkan hak-hak orang asal bagi memastikan 46 pasal yang terkandung dalam UNDRIP dilaksanakan di negara ini,” katanya pada webinar Bicara Rakyat yang bertemakan sambutan Hari Orang Asal Sedunia, di sini, baru-baru ini.

Madius berkata, UNDRIP merupakan instrumen antarabangsa yang paling komprehensif tentang hal-hak Orang Asal.

Katanya, dalam hal itu, perkara seperti “self determination” dalam Fasal 3 adalah antara hak-hak Orang Asal yang sangat penting kerana ia melibatkan hal-hal mengenai identiti.

“Ia bermaksud, identiti kita ditentukan oleh kita sendiri bukannya orang lain. Sekiranya ada mana-mana pihak menggunakan identiti kita seperti menyebut nama kaum dengan tujuan untuk menghina, kita boleh mengambil tindakan ke atas mereka mengikut pasal ini.

“Apabila kita lihat Fasal 8, Fasal 10, 12, Fasal 26 dan Fasal 34, ia juga menjelaskan tentang pembelaan terhadap hak-hak yang dekat dengan kita di Malaysia seperti hak tanah, hak budaya, hak pendidikan, bahasa dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Madius berkata, sambutan Hari Orang Asal Sedunia kali ini merupakan sambutan kali ke-5 yang diraikan Upko sejak 2016.

“Kita mahu semua pemegang taruh, bermula daripada pemimpin politik, ketua jabatan kerajaan, pemimpin masyarakat seterusnya masyarakat senderi sedar dan memahami perkara ini.

“Iaitu sedar dan faham tentang hak-hak Orang Asal seperti yang terkandung dalam UNDRIP,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *