Sabah Tangguh Pelaksanaan SST Terhadap Eksport Makanan Laut

Datuk Dr Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri Sabah akan menangguhkan pelaksanaan cukai jualan negeri (SST) bagi eksport makanan laut sehingga keadaan ekonomi bertambah baik, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata kerajaan juga akan menjalankan kajian lanjutan mengenai keadaan ekonomi di Sabah terutama situasi semasa industri perniagaan.

“Kerajaan ambil perhatian terhadap maklum balas peniaga terutama daripada industri makanan laut, terhadap pelaksanaan SST. Kerajaan juga memahami kebimbangan mereka, tidak adil memberikan tekanan tambahan terhadap sektor swasta ketika ini.

“Justeru kementerian telah membincangkan keadan ini dengan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan memutuskan kerajaan tidak dapat membatalkan cukai tersebut, sebaliknya ditangguh buat sementara waktu sehingga ke satu tarikh diumumkan kelak,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau berharap penangguhan SST terhadap industri eksport makanan laut akan memberi kelegaan kepada pemain industri.

“Kerajaan akan sentiasa menyokong sektor swasta kerana sektor ini merupakan tulang belakang ekonomi Sabah dan penyumbang terbesar dalam menawarkan peluang pekerjaaan di negeri ini,” tambahnya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *