3 Pengedar Dadah Warga Filipina Ditahan Bersama Lebih 2KG Syabu

Tiga suspek warga asing berusia 18 hingga 31 tahun ditahan dalam operasi di Reno Fajar Fasa Dua, Jalan Pantai, Lahad Datu. – Foto Ihsan Poli

LAHAD DATU: Intipan selama sebulan dijalankan polis akhirnya berhasil apabila berjaya menahan tiga lelaki yang dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah di daerah ini, semalam.

Ketiga-tiga lelaki berusia 18 hingga 31 tahun itu ditahan jam 3.20 petang, dalam ‘Op Tapis’ yang dijalankan di Reno Fajar Fasa Dua, Jalan Pantai, di sini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, bertindak atas maklumat, pasukan polis berjaya mengesan tiga suspek sedang berjalan melalui lorong bangunan kedai sambil membawa bungkusan plastik.

Katanya, ketiga-tiga suspek bertindak cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan dengan pasukan serbuan polis.

“Ketiga-tiga mereka berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati beg plastik yang dibawa suspek mengandungi dua bungkusan berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dadah yang dibawa seberat 2,130 gram yang dianggarkan bernilai RM85,048 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rohan berkata, semua suspek dikenal pasti warga Filipina tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati hanya seorang suspek positif dadah jenis amphetamine dan methaphetamine.

“Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost