60% Penduduk Sabah Terima Dua Dos Lengkap Vaksin Menjelang September

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Jurucakap COVID-19 kerajaan Sabah.

KOTA KINABALU, 5 Ogos : Sabah mampu mencapai 60 peratus penduduknya menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 menjelang 21 Sept depan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Katanya ia berdasarkan kadar vaksinasi harian yang meningkat di Sabah dan semalam sahaja sebanyak 46,840 dos vaksin diberikan menjadikan jumlah vaksin yang diberikan sudah melebihi 1.38 juta dos dengan 967,555 merupakan dos pertama dan selebihnya dos kedua.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mempunyai keupayaan untuk memberikan sehingga 60,000 vaksin setiap hari, namun ia bergantung kepada jumlah dos vaksin sedia ada dan kelancaran penghantaran bekalan vaksin ke Sabah.

“Atas andaian bekalan vaksin yang mencukupi terjamin, mengikut perancangan, JKNS boleh mengekalkan momentum melaksanakan pemberian vaksin dengan kadar yang cepat seperti sekarang, kita boleh mencapai sasaran tersebut (60 peratus),” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah berkata peratusan kes bergejala atau ‘sporadik’ semakin meningkat dengan 24 peratus atau 251 kes daripada 1,062 kes positif hari ini dikesan daripada kategori itu berbanding 21.2 peratus atau 201 kes daripada 949 kes semalam.

“Kontak rapat terus menjadi penyumbang utama kepada kes harian (hari ini) iaitu 569 kes atau hampir 54 peratus kes hari ini, dan 967 kes positif hari ini adalah daripada kategori 1 tiada simptom dan kategori 2 simptom ringan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *