Rentas Daerah Dibenarkan Di Fasa 3, Dua Negeri & Labuan Beralih Ke Fasa 3 PPN Mulai Rabu – PM

KUALA LUMPUR: Rentas Daerah Dibenarkan Di Fasa 3, Dua Negeri & Labuan Beralih Ke Fasa 3 PPN Mulai Rabu – PM

Tiga negeri iaitu Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang menunjukkan prestasi amat baik akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa Rabu ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada tiga negeri yang beralih ke Fasa 3 PPN.

“Suka untuk saya mengingatkan agar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan terus dipatuhi dan semua usaha untuk menambahbaik situasi pandemik di negeri masing-masing diteruskan.

“Saya berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara lebih banyak negeri akan dapat bergerak ke fasa seterusnya. Kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Menurutnya, petang ini juga beliau mempengerusikan mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memperincikan kemudahan kepada individu yang lengkap mendapat dua dos suntikan vaksin.

“Turut dibincangkan adalah kemudahan yang bakal dinikmati sektor ekonomi.

“Perkara ini perlu diperhalusi dengan berhati-hati bagi memastikan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan ini dijangka umumkan dalam waktu yang terdekat dan diharapkan dapat memanfaatkan sebaiknya individu yang menerima vaksinasi lengkap dan juga membantu sektor ekonomi kita dengan mengambil kira keselamatan rakyat.

“Ingin saya tekankan juga di sini bahawa strategi kerajaan adalah memberikan vaksinasi kepada seramai mungkin penduduk dewasa di Malaysia bagi memastikan pemulihan negara dapat dijalankan dengan lancar.

“Lebih ramai yang divaksinasi, lebih ramai yang terlindung, lebih kurang tekanan dan bebanan kepada sistem kesihatan negara dan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang boleh dibuka dengan selamat,” katanya.

Muhyiddin berkata, pada mesyuarat petang ini juga, Menteri Penyelaras PPN, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan perkembangan pelaksanaan PPN. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost