Parah Dihempap Pintu Pagar Besi

Anggota bomba berusaha menyelamatkan mangsa yang masih berada di bawah pagar besi yang dirempuh sebuah kenderaan. – Foto ihsan Bomba Sabah

KOTA KINABALU: Seorang wanita berusia 41 tahun parah selepas dihempap pintu pagar besi yang dirempuh sebuah kenderaan di Taman Luyang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, pagar rumah berkenaan rebah selepas dilanggar sebuah kereta Proton Saga yang dipercayai hilang kawalan.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.25 pagi.

Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta yang melanggar pagar rumah yang kemudiannya menghempap seorang mangsa berusia 41 tahun.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah diberikan rawatan awal oleh pasukan ERMS sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Affendy berkata, pasukan operasi terpaksa menggunakan alat khas bagi mengalihkan pagar besi yang menghempap mangsa.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.58 pagi selepas kemerbahayaan lain dikesan di lokasi kejadian. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost