Laungan ‘Derhaka’, ‘Letak Jawatan’ Ketika Anwar Baca Kenyataan Agong Di Parlimen

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat kecoh dengan laungan derhaka dan gesaan supaya Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin meletak jawatan selepas Yang di-Pertuan Agong mendedahkan kerajaan membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan baginda.

Kejadian itu berlaku ketika Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) membaca kenyataan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Beliau berkata, ini menunjukkan kerajaan pimpinan Muhyiddin tidak mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan tidak menghormati institusi diraja.

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan bertindak mengelirukan Dewan Rakyat.

“Kita bukan sahaja mencapai tahap krisis, tetapi juga derhaka dan penipuan Parlimen,” katanya di Dewan Rakyat.

Anwar berkata, Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agong mempunyai kuasa untuk membatalkan Ordinan Darurat.

Katanya, Agong menzahirkan rasa amat dukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat tidak dikemukakan untuk mendapat perkenan baginda.

“Beliau (Muhyiddin) tidak bercakap benar. Kami memita beliau meletak jawatan.”

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost