Kluster Tembok Penyumbang Tertinggi Kes Baharu Di Sabah

KOTA KINABALU: Kluster Tembok atau penjara masih menjadi penyumbang tertinggi kes baharu COVID-19 yang direkodkan di Sabah dengan 245 kes atau 37.3 peratus daripada 657 kes baharu di negeri itu, semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata daripada 245 kes itu sebanyak 131 kes dicatat di Kluster Tembok Kota Kinabalu (Penjara Kepayan), manakala 114 kes lagi di Kluster Tembok Tawau Dua (Penjara Tawau).

Katanya, kes baharu Kluster Tembok semalam menyumbang 53 peratus daripada 248 kes COVID-19 yang direkodkan di Kota Kinabalu dan 84 peratus daripada 137 kes yang dilaporkan di daerah Tawau.

“Daripada 657 kes baharu hari ini (semalam), sebanyak 317 kes adalah saringan kluster didominasi oleh ‘kluster penjara’, iaitu 245 kes atau 37.3 peratus daripada kumulatif kes harian.

“Turut menyumbang kepada jumlah kes adalah saringan kontak rapat iaitu sebanyak 199 kes atau 30.3 peratus. Kedua-dua saringan ini iaitu saringan kluster dan saringan kontak rapat menyumbang 78.5 peratus atau 516 kes daripada kumulatif harian,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Masidi berkata, daripada 657 kes positif COVID-19 semalam, 58.9 peratus atau 387 kes berada dalam kategori satu atau tidak bergejala, manakala 33.5 peratus atau 220 kes kategori dua iaitu bergejala tanpa radang paru-paru.

Katanya, hanya satu pesakit berada dalam kategori tiga dan seorang lagi dalam kategori empat, manakala seramai 48 pesakit atau 7.3 peratus masih menunggu penilaian tahap jangkitan masing-masing.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata satu kluster baharu COVID-19 yang direkodkan di Tuaran semalam, dipercayai berpunca daripada majlis kenduri kesyukuran yang diadakan pada 3 Julai lalu.

Kluster Kampung Pukak itu, katanya, tercetus selepas kes indeks yang juga tuan rumah majlis berkenaan berusia 47 tahun disahkan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 9 Julai selepas bergejala demam, batuk dan selsema sejak 7 Julai lalu.

“Daripada 55 kontak rapat yang disaring, 16 kes dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 17 kes, termasuk sembilan kes baharu.

“Saringan membabitkan kontak rapat dari Kampung Pukak, Kampung Pinagon dan Kuarters Loji Air Telibong Satu, Tuaran,” katanya dua kes kematian turut direkodkan di Sabah semalam iaitu masing-masing satu di daerah Kota Belud dan Tawau. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *