Pesakit Buah Pinggang Cetus Kluster Angsana Di Sabah

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Seorang pesakit buah pinggang dikesan menjadi punca tercetusnya satu lagi kluster baharu di Sabah selepas menjalani rawatan di pusat dialisis swasta.

Kluster Angsana itu dilaporkan menyebabkan jangkitan dalam komuniti yang dikesan berlaku di daerah Papar.

Menurut jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Masidi Manjun, pesakit wanita berusia 66 tahun yang menjalani rawatan dialisis di Jalan Lintas, Kepayan itu dikesan positif menerusi saringan bergejala pada 10 Julai lalu.

Katanya, sebanyak 29 daripada 77 sampel diambil dikesan positif dan ia turut membabitkan tujuh kes baharu semalam.

“Ia termasuk kontak rapat di Kampung Seberang Benoni, Kampung Takis, Kampung Surati dan Taman Aman Suria di Papar.

“Sebanyak 48 sampel pula didapati negatif manakala 19 lagi masih menunggu keputusan. Kita masih giat menjalankan pengesanan kontak rapat, kawalan penularan penyakit, disinfeksi dan siasatan punca jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan menurut Harian Metro.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Sabah mengesan satu lagi kluster iaitu Kluster Pauh di Kinabatangan membabitkan pekerja ladang warga Indonesia berusia 21 tahun.

Katanya, lelaki berkenaan didapati positif hasil saringan kemasukan ke ladang di Pejabat Kesihatan Kawasan Beluran pada 12 Julai lalu.

“Saringan itu mendapati keputusan kes indeks positif dan telah dirujuk ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan untuk rawatan lanjut,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *