Pemandu Ladang Cetus Kluster Baharu Di Kalabakan

KOTA KINABALU: Seorang pemandu di sebuah ladang kelapa sawit yang pernah membawa pesakit bergejala ke klinik mencetuskan kluster baharu COVID-19 membabitkan jangkitan dalam kalangan pekerja ladang dan klinik di Kalabakan, semalam.
Kluster Agathis itu adalah antara empat kluster baharu yang dilaporkan di Sabah, masing-masing dua berkaitan tempat kerja, manakala dua kluster lagi berkaitan pusat rawatan dan penjara.

Jurucakap perkembangan COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kes indeks Kluster Agathis yang berumur 46 tahun itu dikesan positif COVID-19 melalui saringan bergejala di klinik swasta di ladang tempatnya bekerja pada 14 Julai lalu.
“Setakat ini, jumlah terkini kes positif COVID-19 bagi kluster ini ialah sebanyak 33 kes termasuk 31 kes baharu. Siasatan lanjut pengesanan kontak rapat dan mengenal pasti punca jangkitan sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Sementara itu, di Sandakan, seorang lelaki berumur 27 tahun yang menjalani rawatan dialisis di sebuah pusat dialisis kerajaan mencetuskan Kluster Batu Tiga Utara selepas dikesan positif COVID-19 melalui saringan bergejala di sebuah klinik swasta pada 13 Julai lalu.

Masidi berkata, saringan kontak serumah yang dijalankan selepas itu mendapati empat ahli keluarga kes indeks juga positif COVID-19. Secara keseluruhan, kluster ini merekodkan jumlah kumulatif 19 kes termasuk 17 kes pada hari ini (semalam).

Di Tawau, Kluster Tembok Dua yang dilaporkan di Penjara Tawau tercetus selepas 35 banduan dikesan positif menerusi saringan pra pengeluaran dari penjara pada 16 Julai lalu.

“Jumlah itu merangkumi 30 kes banduan dagang yang akan dikeluarkan ke Depot Tahanan Sementara dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen, manakala lima kes lagi mempunyai urusan di luar penjara iaitu satu banduan ada temujanji antenatal dan empat banduan ada perbicaraan mahkamah.

“Setakat hari ini (semalam), sebanyak 159 kes berjaya dikesan termasuk 124 kes baharu,” katanya.

Satu lagi kluster semalam iaitu Kluster Sri Sandau di Kinabatangan tercetus selepas seorang pekerja wanita di sebuah ladang kelapa sawit dikesan positif COVID-19 melalui saringan di sebuah klinik swasta di Nangoh, Beluran pada 12 Julai lalu.

Kes indeks bukan warga negara berumur 35 tahun itu yang menjalani saringan untuk kemasukan ke ladang kemudiannya dirujuk ke Hospital Duchess Of Kent, Sandakan untuk rawatan lanjut.

Masidi berkata, saringan kontak seterusnya mendapati 10 rakan sekerja kes indeks didapati positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 11 kes sehingga semalam. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *