
KOTA KINABALU: “Kami sedih, sebelum ini kami terpaksa mengharapkan bantuan makanan kerana tidak dapat bekerja disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Tapi hari ini, kami hilang segala-galanya, bukan saja tempat tinggal tetapi juga harta benda termasuk, pakaian langsung tidak dapat diselamatkan,” kata Sani Sedong, 24.

Dia dan keluarganya terselamat dalam kebakaran 15 rumah di Kampung Tanjung Aru Baru di sini, kira-kira 4 pagi, hari ini.
Menurut Sani, dia sedar berlaku kebakaran itu apabila mendengar bunyi letupan kuat dari luar rumah, sebelum melihat rumah jirannya sudah terbakar.
“Saya terus menjerit dan kejutkan ibu, bapa dan adik-adik dan sepupu yang berada di dalam rumah untuk bangun menyelamatkan diri masing-masing,” katanya yang memberitahu dia sedang bermain permainan video sambil menggunakan fon kepala ketika kebakaran itu.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Juldin Jun, 18, berkata, mereka sekeluarga terjaga daripada tidur selepas mendengar bunyi letupan dan jeritan di luar rumah.
“Api sudah merebak hampir ke rumah saya ketika itu, dan lebih menakutkan apabila dua kereta yang berada beberapa meter dari rumah juga meletup dan terbakar.
“Kami hanya fikir untuk menyelamatkan diri sahaja. Walaupun sedih, tetapi saya bersyukur kerana semuanya selamat,” katanya. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost