JIM Sabah Tahan 65 PATI Di Ranau

Sebahagian pendatang tanpa izin yang ditahan JIM Sabah Di Ranau.

RANAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan seramai 65 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di 10 lokasi sekitar daerah Ranau, sempena Operasi Patuh Bersepadu, tengah malam tadi.

Operasi yang bermula jam 12 tengah malam itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) membabitkan 98 anggota dan pegawai.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, operasi dijalankan berdasarkan aduan awam yang diterima bahagian penguatkuasaan JIM Ranau.

Katanya, antara lokasi serbuan adalah rumah kongsi tapak pembinaan Mesilou Golf Course, Jalan Desa Cattle, Kampung Mesilou dan Loji Tapak Pembinaan Tangki Air serta sekitar Pekan Kundasang.

“Selain itu, serbuan turut dijalankan di sekitar Kuarters Pekerja MRSM, Tanah Merah, Jalan Kompleks Ranau, Kampung Babukan, Jalan Pinousuk, Ranau.

“Dalam operasi ini, seramai 173 orang diperiksa dan daripada jumlah itu hanya 65 individu ditahan membabitkan 28 lelaki dan 15 wanita dewasa serta 22 kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Jonathan berkata, semua ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas yang sah serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas.

Selain itu katanya, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen Imigresen 1959/63 iaitu menggunakan dan memiliki apa-apa permit masuk, pas, dokumen perjalanan dalam negeri atau perakuan yang palsu.

“Objektif utama operasi ini dilaksanakan adalah nagi membenteras kehadiran PATI dan mana-mana orang yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen dan Akta Anti Perdagangan dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

“Tumpuan Operasi ini juga turut menjurus kepada majikan-majikan yang disyaki mengambil pekerja PATI, melindungi PATI dan sindiket yang membawa masuk PATI ke negara ini,” katanya.

Jonathan berkata, tindakan akan diambil selaras dengan peruntukkan undang-undang tanpa kompromi.

Katanya, dalam pada itu, semua tahanan juga diarahkan menjalani proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan COVID-19 bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan di depot tahanan Imigresen. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *