Ular sawa Ditangkap Selepas Kekenyangan Telan Kambing

Ular sawa kekenyangan selepas telan kambing Pasukan bomba berjaya menangkap ular sawa sepanjang lebih 3.5 meter terbabit. – Foto Bomba

BEAUFORT: Seekor ular sawa yang baru menelan seekor kambing di sebuah kandang, di Kampung Suasa, Beaufort, berjaya ditangkap pasukan bomba, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan ular itu pada jam 12.34 tengah hari.

“Sepasukan anggota kemudian bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 28 kilometer daripada balai bomba dan mendapati ada seekor ular sawa di dalam sebuah kandang kambing.

“Ular sepanjang 12 kaki itu juga baru menelan seekor kambing di dalam kandang berkenaan dan pasukan bomba kemudian menangkap haiwan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu dalam kes berasingan, sebuah rumah pekerja di sebuah tapak pembinaan di Jalan Tombovo Ketiau, di Putatan, dihempap pokok tumbang, pagi tadi.

Pasukan bomba menjalankan kerja mengalihkan pokok yang tumbang serta menghempap sebuah rumah pekerja di Putatan.

Affendy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.02 pagi.

“Sepasukan anggota kemudian pergi ke lokasi untuk menjalankan operasi mengalihkan kayu terbabit.

“Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu manakala rumah pekerja terbabit mengalami kerosakan 10 peratus,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *