12 Kawasan Di Penampang Dilanda Banjir

Sesetengah kawasan di Penampang dinaiki air selepas hujan lebat semalam. – Gambar Ihsan APM

PENAMPANG, 15 Julai : Hujan lebat yang berterusan sejak jam 3.50 petang semalam hingga pagi ini menyebabkan 11 kampung dan sebuah taman perumahan di sini dilanda banjir.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Penampang dalam kenyataan hari ini memaklumkan kampung terlibat termasuk Kampung Tuavon, Kampung Kambau, Kampung Dabak, Kampung Nambazan, Kampung Soboong Kolopis, Kampung Tindai Kolopis dan Kampung Kolopis.

Turut dilanda banjir Kampung Inobong, Kampung Kibabaig, Kampung Gunsing dan Penampang Proper, serta Taman Donggongon.

“Selain itu Sekolah Menengah St Michael Penampang turut dinaiki air. Semua agensi bekerjasama membuat pemantauan di beberapa kawasan yang sering dinaiki air dengan paras air Sungai Moyog dilaporkan semakin naik.

“Sebuah pusat pemindahan sementara iaitu Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang telah dibuka namun belum ada mangsa dipindahkan setakat ini,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, beberapa jalan turut dinaiki air antaranya Jalan Datuk Panglima Banting, Jalan Dakata, Jalan Kasigui, Jalan Tuavon, Jalan Kolopis, Jalan Inobong, Jalan Kibabaig, Jalan Bulatan Siga, Jalan Edmund Labunda dan Jalan Nambazan.

Jabatan Meteorologi Malaysia pada Selasa lepas mengeluarkan amaran waspada dengan hujan lebat dijangka berterusan di beberapa kawasan di Sabah bermula Rabu hingga hari ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *