Ini Bukan Masa Sesuai Tukar Pengarah Kesihatan, Kata Bekas Menteri Sabah

Bekas menteri tempatan Sabah, Frankie Poon (kiri) dan Phoong Jin Zhe berkata, Sabah masih memerlukan pengalaman dan keupayaan Christina Rundi sebagai pengarah kesihatan negeri.

KOTA KINABALU: Dua bekas menteri tempatan Sabah mengkritik pertukaran pengarah kesihatan negeri itu, Christina Rundi, selepas mendakwa tindakan berkenaan dibuat pada masa tidak sesuai di tengah-tengah situasi kritikal melawan Covid-19.

Bercakap kepada FMT, bekas menteri kesihatan dan kesejahteraan rakyat, Frankie Poon, dan bekas menteri belia dan sukan, Phoong Jin Zhe berkata, Sabah masih memerlukan pengalaman dan keupayaan Christina bagi mendepani pandemik itu di Sabah.

Poon turut mengiktiraf kejayaan pengurusan jangkitan wabak berkenaan di Sabah sehingga Sept lalu sebelum pilihan raya negeri berlangsung.

Katanya, kemasukan besar-besaran orang luar ke Sabah bertujuan berkempen pada pilihan raya itu mengakibatkan jumlah kes melambung tinggi. Bagaimanapun, situasi genting itu berjaya dikawal sekali lagi, meskipun kadar jangkitan turun naik, namun ia tidak seteruk situasi yang berlaku di semenanjung Malaysia.

https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.471.1_en.html#goog_1532729703“Saya bekerja bersama beliau dan saya melihat beliau tahu apa yang beliau mahu lakukan.

“Beliau tidak sepatutnya ditukar keluar selepas mengambil kira kejayaannya di Sabah. Sebagai peringatan, kita juga mempunyai isu polio pada satu ketika dan beliau menguruskannya agak baik. Saya tidak fikir beliau culas,” katanya.

Poon berkata, beliau tidak mempunyai masalah membabitkan siapa yang akan menggantikan Christina.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh membuat perubahan hanya semata-mata mahu berubah. Kita sedang berada dalam situasi luar biasa,” katanya sambil menggesa kerajaan persekutuan menjelaskan rasional pertukaran pegawai itu.

Beliau mempersoalkan sama ada wujud campur tangan politik dalam isu berkenaan.

“Ini sesuatu mencurigakan dan rakyat Sabah layak diberi penjelasan,” katanya.

Semalam, sekumpulan doktor dalam perkhidmatan awam dan swasta juga mempersoalkan pertukaran Christina ke bahagian pembangunan keluarga di Kementerian Kesihatan, di Putrajaya, sebagai pengarah.

Christina diganti oleh seorang lagi rakyat Sabah, Rose Nani Mudin dan pelantikannya berkuat kuasa pada 13 Julai lalu.

Rose sebelum ini merupakan timbalan pengarah (penyakit berjangkit) bahagian kawalan penyakit, selain sebagai pengarah pusat vaksinasi di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, bekas timbalan menteri kesihatan, Lee Boon Chye berkata, Christina adalah seorang yang “komited”, berkemampuan dan berani mengambil keputusan sukar.

Boon Chye bagaimanapun enggan mengulas berkenaan pertukaran itu kerana berpendapat ia berlaku disebabkan perancangan bahagian sumber manusia.

“Kita tidak boleh menafikan perkembangan kerjaya Christina. Pertukarannya untuk mengetuai bahagian pembangunan keluarga membabitkan tanggungjawab ke atas 3,000 klinik kesihatan dan klinik luar bandar di seluruh negara dan ia adalah amanah besar dalam menjaga kesihatan ibu dan anak, kawalan penyakit tidak berjangkit, vaksin dan penyakit berjangkit.

“Bahagian itu juga adalah sub-bahagian terbesar dalam Kementerian Kesihatan,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *