Lelaki Cedera Ketika Cuba Padam Rumah Terbakar Di Ranau

Anggota bomba ketika berusaha memadam kebakaran.

RANAU: Tindakan berani seorang lelaki memadamkan api gagal menyelamatkan rumah sewa yang didiami bersama keluarganya dalam kejadian di Kampung Kibbas, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.15 malam itu, mangsa berusia 43 tahun itu terpaksa menerima rawatan dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Ranau, selepas mengalami kecederaan melecur di kedua belah tangan.

Bagaimanapun, enam ahli keluarga mangsa berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ranau Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.21 malam.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, dua jentera dengan kekuatan seramai 10 anggota digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi pemadaman.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bertugas mendapati sebuah rumah telah terbakar sepenuhnya.

“Seorang penghuni melecur di kedua-dua tangan ketika cuba memadam api. Mangsa kemudian diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba mengawal kebakaran menggunakan satu aliran dengan sumber air daripada jentera bomba dan bekalan air dari sebuah sekolah berdekatan.

“Api dapat dikawal jam 8.52 malam dan operasi tamat jam 9.06 malam. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan anggota bomba,” katanya. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *