Budak 4 Tahun Cetus Kluster Kayu Patikang Di Keningau – Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun bukan warganegara yang dijangkiti COVID-19 mencetuskan satu lagi kluster baharu di Sabah iaitu Kluster Kayu Patikang.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster itu adalah penularan jangkitan di tempat kerja iaitu di sebuah kilang pemprosesan kayu balak di daerah Keningau membabitkan Mukim Patikang dan Lingkudau.

“Kes indeks kanak-kanak perempuan berusia empat tahun bukan warganegara yang dikesan melalui saringan bergejala di Hospital Keningau dengan keputusan positif.

“Saringan kontak di lapangan mendapati 16 lagi kes positif pada 10 Julai lalu dan pada tarikh sama, dua lagi kes positif dilaporkan oleh Pusat Kuarantin Sementara, IPG Keningau melalui saringan yang sama.

“Setakat hari ini, daripada 88 kontak yang sudah disaring terdapat 19 kes positif termasuk 18 kes baharu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri, berkata jumlah kes harian COVID-19 di Sabah kekal mencatatkan kes sebanyak tiga angka hari ini.

Katanya, berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah jumlah kes positif baharu hari ini sebanyak 271 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 72,313 kes dan tiada kes kematian dilaporkan.

“Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital seramai 245 menjadikan jumlah kumulatif 69,351 orang.

“Seramai 1,911 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 393 orang di hospital, 1,501 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, manakala 17 lagi di Pusat Tahanan Sementara,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *