Fasa 2 PPN Beri Harapan Baharu Buat Penduduk Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU, 10 Julai : Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula hari ini di Sabah memberi harapan baharu kepada penduduk bagi memulihkan kehidupan dan ekonomi setempat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Pekerja kedai buah-buahan di sini, Syakirah Lee, 40, berkata sebelum ini beliau bekerja di sebuah kedai serbaneka kecil, bagaimanapun kehilangan pekerjaan disebabkan kedai itu terpaksa ditutup berikutan kekurangan pelanggan akibat penularan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang lepas.

Beliau berkata situasi itu menyebabkan dirinya menghadapi masalah untuk menyara keluarga, justeru Fasa Dua PPN yang membenarkan perniagaan tertentu beroperasi memberikan harapan baharu kepadanya untuk memulihkan ekonomi keluarga dengan pekerjaan baharu.

“Saya bersyukur perniagaan diberi kelonggaran dalam fasa ini kerana kita yang kerja dengan perniagaan ini juga dapat untungnya tetapi kita tidak boleh leka, patuh SOP (prosedur operasi standard) kerana COVID-19 masih ada lagi.

“Perniagaan dibenarkan beroperasi tetapi peniaga mesti patuhi arahan semasa daripada kerajaan kerana kes seluruh negara semakin tinggi dan kita semua berperanan serta mempunyai tanggungjawab yang sama dalam membendung COVID-19,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Khamis lepas (8 Julai), Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan sebagai berkata Sabah akan beralih ke Fasa Dua PPN hari ini dan keputusan itu dibuat setelah meneliti nilai-nilai ambang atau threshold negeri ini.

Pemilik kedai fotografi dan pencetakan Lem Su Chiang, 56, berkata beliau tidak dapat menjalankan keseluruhan perniagaan sebelum ini menyebabkan jumlah pendapatan peniagaan terjejas, justeru peluang beroperasi dalam Fasa Dua PPN membolehkannya memulihkan perniagaan yang terkesan.

Bagaimanapun katanya, beliau hanya dapat menawarkan perkhidmatan cetakan dan salinan fotostat kepada pelanggan berikutan perkhidmatan fotografi masih tidak dibenarkan dalam fasa itu.

“Pelanggan mahu ambil gambar tetapi kami beritahu tidak boleh, mahu tunggu SOP bagi kebenaran baru boleh… ada juga rugi sikit tetapi kita mesti patuh SOP supaya boleh turunkan kes COVID-19, apapun ada kelonggaran berniaga ini boleh tolong juga perniagaan kami ini,” katanya.

Penghantar makanan Food Panda, Tan Shi Yuu, 25, berkata kelonggaran beroperasi untuk perniagaan makanan dalam Fasa Dua PPN membolehkan lebih banyak tempahan diterima untuknya menghantar makanan seterusnya menambah pendapatannya.

“Harapan saya fasa ini boleh cari rezeki lebih sikit, dahulu semasa pelancong dibenarkan (datang ke Sabah) RM1,000 ke RM2,000 satu minggu kerja sekarang susah sikit tiada pelancong, saya harap Fasa Dua PPN ini boleh bantu dapat RM700 ke RM800 seminggu,” katanya.

Beliau berkata apa yang penting sekarang buat rakyat Sabah adalah tidak sekali-kali berputus asa dalam menghadapi pelbagai cabaran dibawa COVID-19 dan pandemik itu perlu dihadapi secara bersama dengan mematuhi SOP selain memberikan kerjasama kepada kerajaan untuk memerangi COVID-19. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *