5 Lagi Lokaliti Di Sabah Kena PKPD Bermula Isnin

KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di beberapa lokaliti di Sabah iaitu tiga di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Papar dan Tawau mulai Isnin ini.

Lima lokaliti itu adalah QL Farm, Membalua di Tawau, Kampung Pikat, Bongawan di Papar dan Kampung Suang Parai, Taman Kingfisher Sulaman serta Bandaran Berjaya di Kota Kinabalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata

keputusan bagi pelaksanaan PKPD di semua lokaliti berkenaan atas faktor berlaku peningkatan kes COVID-19 dalam tempoh yang singkat.

“Jumlah positif COVID-19 di ketiga-tiga lokaliti yang dikenakan PKPD di Kota Kinabalu adalah 50 orang dengan Kampung Suang Parai merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 22 kes.

“Di Kampung Pikat, Bongawan, kes meningkat dalam tempoh seminggu dan hasil 89 saringan yang dijalankan, seramai 15 penduduk didapati positif COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD selama dua minggu di semua lokaliti terbabit sehingga 25 Julai ini.

Beliau turut mengumumkan perlanjutan PKPD di Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud, Sabah berkuatkuasa Isnin ini selepas 23 lagi penduduk disahkan positif COVID-19 hasil 146 saringan keseluruhan yang dijalankan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengumumkan, penamatan PKPD membabitkan beberapa lokaliti di seluruh negara mulai esok.

Ia termasuk di Kampung Tuunon, Penampang, Sabah; dua lokaliti di Kota Belud, Sabah iaitu Kampung Tawadakan, Kampung Kota Bungan dan Kampung Perpaduan Ria 1, Kudat.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *