Tambahan Lebih 2 Juta Dos Perhebat Pemberian Vaksin Di Sabah – Hajiji

Hajiji

KUNDASANG: Lebih ramai penduduk Sabah akan menerima vaksin, susulan penambahan lebih dua juta dos vaksin Covid-19 yang dijangka tiba pada bulan ini dan bulan depan, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

Katanya, penambahan vaksin berkenaan juga akan memperhebat program jangkauan luar pemberian vaksin di pedalaman negeri itu.

”Sabah yang akan menerima satu juta dos vaksin pada bulan ini dan 1.2 juta dos lagi pada bulan depan, sudah pasti ia akan membantu meningkatkan lagi jumlah penerima vaksin di negeri ini.

”Saya berharap pemberian vaksin ini berjalan lancar termasuk untuk program ”mobile outreach” dan ini bagi memastikan tiada penduduk yang tercicir dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

”Kita tahu, di luar bandar mereka tidak menggunakan aplikasi MySejahtera dan menerusi program ”mobile outreach”, suntikan vaksin akan diberikan kepada mereka jika datang ke program berkenaan,” katanya selepas mendengar taklimat mengenai status Covid-19 dan PICK di daerah Ranau, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Daerah Ranau Syahrin Samsir Kasibun dalam taklimatnya sempena lawatan Hajiji itu berkata, seramai 16,425 orang atau 21 peratus penduduk di Ranau sudah menerima dos pertama, manakala 7,419 atau 9.5 peratus telah menerima dos kedua.

”Ranau mempunyai 113,500 populasi dengan 75,900 penduduk berusia 18 tahun ke atas dan jumlah yang telah mendaftar (untuk menerima vaksin) adalah seramai 25,396 orang.

”Dewan Masyarakat Ranau menjadi pusat pemberian vaksin (PPV) di daerah itu yang mampu menempatkan kira-kira 300 kapasiti dalam satu-satu masa,” katanya.

Terdahulu, dalam majlis sama, Hajiji menyampaikan bantuan tunai secara ”one-off” RM300 kepada 290 malim gunung dengan nilai keseluruhan berjumlah RM87,000.

Selain itu, beliau juga menyampaikan bantuan bakul makanan dan replika cek bernilai RM30,000 kepada Persatuan Malim Gunung Kinabalu menerusi peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, manakala RM20,000 kepada Persatuan Porter Gunung Kinabalu menerusi peruntukan Taman-Taman Sabah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *