Benarkan Pengeluaran KWSP i-Citra Secara Sekaligus – Asyraf

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

KUALA LUMPUR : Kerajaan dicadangkan membenarkan pengeluaran wang menerusi i-Citra secara lump-sum atau sekaligus sebanyak RM5, 000 berbanding berkala setiap bulan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kaedah itu akan memberi ruang kepada rakyat untuk merancang perbelanjaan.

Namun katanya, sekiranya tetap mahu menetapkan pengeluaran berkala pembayaran pertama perlu dibuat dalam jumlah yang tinggi.

“Sebagai contoh، sekurang-kurangnya RM2,000 bayaran pertama dibenarkan bagi membantu rakyat yang punya komitmen tertunggak bahkan amat terdesak kerana keadaan mereka lebih parah berbanding PKP 1.0 dahulu,” katanya menerusi kenyataandi Facebook hari ini.

Selain itu kata Asyraf berkata, had pengeluaran juga sepatutnya tidak terhad kepada RM5,000 kepada semua ahli sebaliknya berdasarkan baki simpanan.

“Polisi one size fits all atau ‘satu saiz muat untuk semua’ tidak wajar diaplikasikan, sebaliknya harus dibenarkan had pengeluaran dengan kadar lebih tinggi sehingga sekurang-kurangnya RM10,000 ke RM20,000 kepada pencarum yang ada baki simpanan RM100,000,” tambahnya.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga diseru untuk membenarkan akses ke Akaun 1 berbanding kaedah mengutamakan penggunaan Akaun 2.

Pembayaran juga tambahnya, sebaik-baiknya dibuat pada 17 Julai ini bagi pengeluaran pertama tanpa perlu proses dan kelulusan yang mengambil masa panjang.

“Permudahkan dan percepatkan pengeluaran i-Citra tanpa perlu melalui proses permohonan dan kelulusan yang panjang. Sebaik-baiknya 17 Julai ini proses pengeluaran pertama dibuat secara automatik bagi mereka yang berhajat,”ujar Asyraf.

Terdahulu Asyraf berkata, lima cadangan menambah baik pengeluaran i-Citra daripada Pemuda UMNO dibuat berdasarkan keluhan yang disuarakan oleh rakyat.

“Pemuda UMNO amat berharap Kerajaan segera ambil serius akan penambahbaikan ini kerana situasi dan kondisi rakyat di bawah amat mencemaskan dan membimbangkan. Rakyat mendambakan keikhlasan Kerajaan untuk membela nasib mereka yang kesempitan sehinggakan ‘bendera putih’ terpaksa dikibarkan seolah-olah kehabisan ikhtiar untuk meneruskan kehidupan seharian,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *