PKPD Di 4 Lokaliti Di Sabah Ditamatkan

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Nelayan, Batu 10, Sandakan; Fasa 1 dan Fasa 2, Taman Digot, Penampang dan Kampung Rancangan Silabukan Peringkat 4, Lahad Datu ditamatkan mulai esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjalankan 216 ujian saringan di Kampung Nelayan dan 45 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Beliau berkata, KKM mendapati trend kes sudah menurun dan tiada lagi sampel ujian menunggu keputusan.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Nelayan, Batu 10, Sandakan, Sabah pada 4 Julai iaitu 11.59 malam seperti yang dijadualkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKPD Fasa 1 & Fasa 2, Taman Digot, Penampang, Sabah turut ditamatkan atas alasan sama iaitu penurunan kes di kawasan terbabit.

“Sepanjang pelaksanaan PKPD di lokaliti itu, KKM sudah melakukan 27 ujian saringan dan lapan daripadanya disahkan positif Covid-19.

“Terdapat penurunan dalam kes dari kawasan ini dan tiada lagi sampel menunggu keputusan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 148 ujian saringan dijalankan KKM di Kampung Rancangan Silabukan Peringkat 4, Lahad Datu sepanjang tempoh PKPD dan 11 daripadanya disahkan positif Covid-19,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *