Gembira 5 Negeri Beralih Ke Fasa 2, Namun Mana SOP Sabah?, Kata Salleh Keruak Kepada Ismail Sabri

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak kecewa dengan tindakan kerajaan pusat yang masih membisu mengenai prosedur operasi standard (SOP) di Sabah selepas kerajaan negeri mengumumkan untuk melonggarkannya bermula 29 Jun lalu.

Salleh berkata sikap “berdiam diri” kerajaan pusat menyebabkan kekeliruan dan keresahan yang tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan rakyat di negeri berkenaan.

“Tumpang gembira mendengar berita 5 negeri Semenanjung Malaysia dibenarkan masuk Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara namun hairan bila masih belum mendengar berita mengenai SOP Sabah selepas sekian lama.

“Harap kerajaan pusat ambil maklum dan tolong hormati permohonan kami di Sabah,” katanya dalam catatan ringkas di Facebook.

Sebelum ini Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun dilaporkan berkata, negeri itu masih menunggu kelulusan Putrajaya berhubung kebenaran aktiviti sosial dan ekonomi seperti diumumkan Ketua Menteri, Hajiji Noor.

Pada 30 Jun, Salleh meminta Putrajaya menghormati keputusan dan memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri dalam melonggarkan SOP berdasarkan keadaan semasa.

Katanya, beliau menyokong penuh tindakan kerajaan Sabah melonggarkan SOP memandangkan negara kini dalam Fasa I Pelan Pemulihan Negara (PPN), bukannya perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kenyataan itu menyusul selepas Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Sabah tidak patut melonggarkan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, semua negeri sepatutnya melaksanakan satu standard SOP sahaja, namun sekiranya ada negeri yang ingin menambah baik dengan memperketatkan suatu perkara, ia dibenarkan.

Sebelum itu, Hajiji mengumumkan kebenaran operasi bagi beberapa aktiviti sosial dan ekonomi susulan pelaksanaan Fasa I PPN di Sabah bermula 29 Jun.

Ia termasuk membenarkan orang ramai makan di restoran, melakukan aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal.

Sementara itu, kedai gunting rambut dan aktiviti pembuatan serta perkilangan diperluaskan kepada getah, simen dan cat, kilang berasaskan kayu dan perabot dibenarkan beroperasi. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *